Translate

Tuesday, 12 May 2015

Serai - 'Cymbopogen citratus'

SERAI atau nama saintifiknya 'Cymbopogen citratus' suatu ketika dulu hanya ditanam secara kecil-kecilan di belakang rumah dan dituai segar dengan batangnya dijadikan perisa masakan, terutama kari, tomyam, kerabu dan rendang.
Namun perkembangan pesat sektor bioteknologi menjadikan tanaman serai secara komersial seperti satu fenomena baru yang melanda masyarakat negara ini, terutama sejak kebelakangan ini. Semakin ramai yang memperkatakan mengenai potensi tanaman itu yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Serai yang juga sejenis tanaman rumput beraroma dan mempunyai rimbunan daun yang lebat, dikatakan berasal dari Sri Lanka dan tersebar luas di kawasan tropika, termasuk Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand, Tanzania, Brazil, Guatemala dan China.
Pada setiap rumpun terdapat banyak batang yang tumbuh daripada rizom. Batangnya berwarna putih keunguan atau kemerahan, manakala daunnya tirus, melampai serta panjangnya antara 60 hingga 100 sentimeter (sm), manakala lebar antara satu hingga 1.5 sm.

Dari aspek perubatan, kandungan `citral' dalam serai berkesan untuk membantu proses pencernaan, melegakan kekejangan, ketegangan otot, sengal-sengal, merawat selsema, batuk, kanser dan sakit kepala. Pati minyaknya pula serai membantu meredakan senak dalam perut disebabkan angin dan membantu mengurangkan bau badan.
erai juga membantu menurunkan suhu badan serta bersifat antiseptik, manakala kandungan tonik di dalamnya akan merangsang sistem badan dan bertindak sebagai pelali terhadap sistem saraf pusat.

Di negara ini, antara serai yang popular di kalangan pengusaha ialah serai paha ayam, serai hijau, serai telur, serai gajah dan serai wangi.
InfoSerai
· Boleh dituai selepas enam bulan ditanam.
· Setiap rumpun biasanya ditanam dengan empat anak benih yang ditanam condong untuk menggalakkan pembiakannya.
· Setiap rumpun mampu menghasilkan sehingga empat kilogram tuaian.
· Setiap kawasan seluas 0.4 hektar boleh menghasilkan sehingga 10 tan metrik semusim (enam bulan) dengan pulangan bersih lebih RM10,000 jika di selenggara dengan baik
· Untuk hidup subur, serai memerlukan kawasan yang tidak terlalu terlindung dan cukup cahaya matahari, manakala tanah yang sesuai ialah tidak digenangi air.

No comments:

Post a Comment